VigLink

Wikipedia

Search results

Monday 23 December 2013

Isu Etika Guru



1.0  PENGENALAN

Guru adalah pendidik dan pembimbing kepada para pelajar yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan bangsa dan  negara pada masa hadapan. Sememangnya guru memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan  negara.

Selain menyebar ilmu segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada pelajar selain mereka dapat membina masyarakat yang mempunyai budaya yang bertamadun tinggi. Seseorang guru yang baik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi seperti baik hati, pandai berjenaka, sabar, bertanggungjawab, yakin pada diri dan mempunyai sifat kepimpinan (Mok Soon Sang, 1988).

Guru perlu mempunyai tatasusila yang tinggi dan berkomitmen menjalankan tugas sebagai pendidik dengan baik. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir memberitahu bahawa daripada tahun 1995 hingga tahun 2008, sebanyak 41 kes keruntuhan moral membabitkan guru dilaporkan (Utusan Malaysia, 18 September 2008). Antara kes keruntuhan moral disebutkan beliau adalah perbuatan sumbang mahram dan bersekedudukan.

Media juga turut melaporkan kes-kes lain seperti guru memukul murid, guru besar menyembunyikan kes-kes disiplin, guru menyebarkan ajaran anti kerajaan dan sebagainya yang telah menarik perhatian umum serta menguji kredibiliti profesion perguruan.

Pendedahan-pendedahan salah laku guru-guru boleh mengakibatkan kewibawaan profesion keguruan tergugat pada mata umum. Hal ini bertentangan dengan peranan dan tatasusila perguruan di Malaysia yang menyatakan guru perlu mematuhi kod etika perguruan iaitu menjalankan tanggungjawabnya guru kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat dan masyarakat dan  negara, bukannya mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku terhadap pelajar tetapi sebaliknya membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Begitu juga dengan guru yang menyebarkan ajaran anti kerajaan di mana bertentangan dengan tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan  negara yang sepatutnya tidak menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau  negara (Utusan Malaysia, 18 September 2008).

Profesion perguruan sememangnya mempunyai kod etikanya tersendiri demi memartabatkan profesion perguruan. Kod etika perguruan dijadikan rujukan oleh bakal-bakal guru yang baru menceburi bidang perguruan dan mereka yang sudah lama bertapak dalam bidang perguruan ini.

Kepentingan kod etika sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Dengan adanya kod etika perguruan ini seharusnya para guru dapat menjaga tingkah laku sebagaimana yang patut diamalkan oleh seorang guru, memahami dengan lebih jelas etika guru iaitu tanggungjawab mereka terhadap pelajar, masyarakat dan  negara, rakan sejawat dan profesion perguruan, dan ibu bapa pelajar, meningkatkan lagi imej profesion perguruan serta mengekal dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas, serta memupuk tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan guru sesama guru.
Namun begitu jika dilihat terdapat guru-guru yang masih melanggar tatasusila perguruan yang sememangnya harus dielakkan bagi yang menjawab jawatan professional.

Oleh yang demikian, Etika Profesion Perguruan penting untuk menjadi panduan guru-guru dalam menjalankan tugas mendidik. Bakal-bakal guru harus mengetahui kod etika profesion perguruan serta mematuhinya demi menjamin martabat profesion perguruan dipandang mulia.
 
2.0 ISU: GURU TIDAK TELUS UNTUK MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR

Pelajar bermasalah disiplin tegar merupakan duri dalam daging yang terus menjadi beban di atas batu jemala kita. Masalahnya ialah, setiap kali ada pendedahan berhubung gejala gangsterisme, kita gemar menggunakan alat sukat kuantitatif untuk mengukur tahap atau status salah laku para pelajar itu dan bukan dari pertimbangan kualitatif.

Jika kuantitinya sedikit, ia masih dianggap 'selamat' dan terkawal. Jadi seolah-olah, bolehlah berlaku jenayah kerana masih terkawal. Jika sudah banyak dan sudah tidak boleh dikawal, barulah tergesa-gesa hendak menubuhkan jawatankuasa itu dan ini. Kita tidak menyedari bahawa 'kualiti' jenayah yang dilakukan oleh remaja kita sekarang agak serius dan memalukan. Semua jenis jenayah, sekecil-kecil anak sehingga sebesar-besar bapa, telah dilakukan oleh pelajar kita.

Malangnya, kebanyakan salah laku itu selalunya disembunyikan di bawah permaidani sahaja. Sekolah-sekolah pula tidak bersikap telus dan suka menyembunyikan sahaja perlakuan jenayah pelajar daripada pengetahuan awam. Natijahnya, ada pelajar yang tergamak menganiaya fizikal atau harta benda guru. Kereta guru disimbah dengan asid, dicalarkan, cermin kereta dipecahkan, disimbah najis, dan tayar kereta atau motosikal guru dikelar dengan pisau. Botol-botol minuman keras, ubat batuk, batang betik, kotak-kotak rokok serta pelbagai lagi 'aksesori' yang menjadi permainan kaki ganja dijumpai dalam tandas-tandas sekolah. Nota-nota berbau amaran atau ancaman daripada pelajar kepada guru, kadang kala lebih menggerunkan daripada pekeliling amaran yang diterima daripada pihak atasan. Cara kita menyelesaikan masalah disiplin pelajar masih samar-samar kerana beberapa saranan seperti memberi kuasa polis tambahan kepada guru-guru, atau merotan pelajar di khalayak, banyak bergantung kepada mendapat pelbagai reaksi.

Akhirnya ia berkubur begitu sahaja. Malah kita sendiri tidak tahu, di mana kita hendak bermula, kerana dalam soal istilah pun kita masih bercanggah pendapat, sama ada istilah gangsterisme itu sesuai diguna pakai untuk kegiatan samseng di peringkat sekolah. Kononnya, ia memberi konotasi yang menggerunkan. Kita bersetuju soal istilah bahasa memang penting kerana klasifikasi indeks untuk merekod sesuatu jenis jenayah akan memberi implikasi perundangan. Gangsterisme dikatakan lebih sesuai sebagai istilah untuk satu kegiatan terancang dalam sesebuah organisasi. Malah, menurut Kementerian Pendidikan sukar untuk menentukan sama ada seseorang pelajar itu ahli kumpulan gangster kecuali disahkan oleh polis.

Akibat titik bengik itu, kini jenayah tegar dikalangan remaja masih gagal dibanteras sepenuhnya. Malah, ia menjadi seperti parasit yang telah berjaya bermandiri dengan segala jenis ubat dan racun sehingga akhirnya sukar dibendung dan melarat. Kajian gangsterisme di sekolah menengah harian telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan pada Disember 1998 hingga Oktober tahun lepas di 329 buah sekolah peningkatan bilangan kumpulan samseng ala gangster dan pelajar-pelajar samseng.

Kejadian itu paling banyak dikesan di sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan pelajar melebihi 1,500 orang. Kajian ke atas tahap pengaruh kegiatan gangsterisme pula mendapati kawasan kediaman sesat mempunyai pengaruh yang besar ke atas pelajar, diikuti oleh kawasan kediaman satu kaum dan rumah pangsa.

Bilangan mereka memang sedikit, tetapi jenayah mereka adalah jenayah dominan dan hebat kesannya kepada rakan-rakan sebaya yang lain. Dalam setandan kelapa, pasti ada buah yang busuk kerana serangan ulat gonggok, tetapi ia boleh menular ke buah-buah kelapa yang lain, dan seterusnya ke tandan-tandan lain, menular pula ke bahagian batang kelapa, dan terus menyerang akarnya, sehingga tumbang sebatang pokok kerana akar yang menjadi asas kekuatannya tidak mampu menahan serangan ulat.

Jalan penyelesaian masih ada dalam bentuk kertas seminar atau persidangan kerana tidak dilaksanakan dalam sistem persekolahan. Masalah ini boleh diatasi kalau ada tindakan yang menyeluruh daripada semua pihak. Cara kita menangani gejala lepak di kalangan remaja pada satu ketika dahulu boleh diterapkan untuk menangani masalah salah laku pelajar.

Kita masih ingat ketika kecohnya isu remaja melepak sehingga menggerakkan kerajaan untuk mengatur pelbagai langkah yang cukup komprehensif untuk mengatasi masalah itu. Antara buah tangan daripada isu itu ialah program Rakan Muda, dengan pecahan-pecahannya seperti Rakan Sukan, Rakan Waja Diri dan sebagainya. Ketika itu, kempen menggalakkan aktiviti Rakan Muda ke sekolah-sekolah diperhebat, sehinggakan setiap aktiviti di sekolah atau di universiti perlu meletakkan label Rakan Muda untuk meraih penyertaan, dan ia terbukti berhasil dengan penglibatan menyeluruh.

Di kampung-kampung, ia menarik sekali penyertaan para pemimpin di peringkat akar umbi seperti tok sidang, penghulu, penggawa serta ahli-ahli jawatankuasa surau. Langkah yang komprehensif seperti ini telah dibuktikan cukup berkesan kerana ia melibatkan semua pihak, daripada rakyat biasa sehinggalah kepada ahli politik. Tidak guna kita menuding jari menyalahkan sesiapa. Yang penting, pada laporan yang sama pada tahun 2000 nanti kita telah sifar gejala gangsterisme - sebagaimana kita berjaya membebaskan diri daripada gejala pepijat alaf.

2.1 PELANGGARAN ETIKA: GURU MENYEMBUNYIKAN MASALAH DISIPLIN
      PELAJAR

Masalah disiplin pelajar di sekolah pada hari ini berada pada paras yang agak serius walaupun kadangkala kenyataan ini telah ditolak oleh pihak-pihak tertentu. Guru yang mengajar kerapkali berhadapan dengan situasi sebegini dan adalah menyedihkan apabila masalah ini masih lagi belum mampu diselesaikan sepenuhnya.

Menurut Olivia (dipetik daripada Abdullah Sani, 2005), disiplin bermaksud kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada pihak yang berkuasa serta cara untuk menetapkan hukuman ataupun peraturan. Oleh kerana itu apabila terdapat kalangan pelajar yang menghadapi masalah disiplin, ini bermakna mereka tidak lagi mampu untuk mengawal diri apatah lagi patuh kepada peraturan dan pihak yang berkuasa lalu mereka sepatutnya dikenakan hukuman atas segala kesalahan yang mereka lakukan.

Perlanggaran disiplin oleh pelajar menunjukkan mereka sedang menghadapi sesuatu masalah dan mereka perlu melakukan sesuatu secara kekerasan untuk menenangkan kembali jiwa mereka. Perkara ini dapat dibuktikan melalui Tattum (1986), apabila terdapat para pelajar yang sengaja melakukan perkara yang tidak baik (devian) sebagai satu bentuk menyemulajadikan semula interaksi mereka.

Apa yang cuba diperkatakan oleh Tattum ialah hanya dengan melakukan kesalahan sahaja sebagai satu-satunya alternatif bagi membolehkan pelajar-pelajar ini melepaskan segala perasaan yang terpendam di jiwa. Antara perkara-perkara negatif yang dilakukan mereka termasuklah memaki-hamun orang lain termasuk guru mereka dengan kata-kata kesat, menghisap rokok ataupun dadah, membuli pelajar lain, bergaduh, terlibat dalam kongsi gelap dan sebagainya. 

Perkara sebegini terjadi mungkin disebabkan oleh percampuran pelbagai jenis pelajar yang berbeza dari segi latarbelakang di dalam sebuah sekolah yang sama, di mana ianya akan membawa kepada pertembungan pandangan, pemikiran dan gaya hidup yang ternyata berbeza. Masalah akan mula timbul apabila pelajar-pelajar ini tidak mampu untuk berhubungan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah ataupun kelas lalu mereka mula hendak melepaskan diri. Menurut Abdul Rahman Abdul Aziz (2000), komunikasi yang tidak berkesan akan menimbulkan jurang yang besar di antara manusia.

Jurang ini seterusnya akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam diri pelajar-pelajar ini, lalu mereka akan melakukan sesuatu untuk melampiaskan perasaan tersebut. Kajian yang telah dijalankan oleh Withney dan Smith (1993), mendapati bahawa di England, perlakuan membuli berlaku sebanyak 10 % di sekolah rendah dan empat peratus di sekolah menengah.

Di Scotland pula, kajian yang dijalankan oleh Mellor (1990), mendapati empat peratus daripada pelajar sekolah mengakui mereka telah membuli rakan sekolah mereka manakala enam peratus lagi pelajar mengakui mereka telah dibuli.

Apabila guru memasuki kelas yang bermasalah, maka mereka akan sentiasa terbayang-bayangkan sikap dan perlakuan pelajar-pelajar sebegini sehinggakan kadangkala menimbulkan trauma pula kepada guru tersebut. Menurut Nogueira (dipetik dari Jesus & Conboy, 2001), kebiasaannya guru akan berfikir secara negatif apabila berhadapan dengan pelajar, contohnya “Aku bosan dengan kelakuan pelajar ini”. Pemikiran sebegini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh sikap para pelajar yang bermasalah seperti ponteng kelas, bergaduh, malas membuat kerja sekolah, membuat bising dan sebagainya.

Apabila guru berhadapan dengan perkara yang sama setiap kali sesi pengajaran bermula, maka mereka akan berasa tertekan dengan keadaan tersebut. Dengan ini, guru kadangkala akan mengambil jalan mudah dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar seperti menengking pelajar dan tidak menghadirkan diri ke kelas terbabit.

Malangnya, terdapat pengetua yang menyembunyikan masalah disiplin pelajar dari diketahui umum atas alasan untuk menjaga nama baik sekolah biarpun tindakan tersebut boleh menimbulkan tekanan kepada guru yang terpaksa berhadapan dengan masalah tersebut setiap masa.

Menurut laporan BERNAMA pada 1997, Timbalan Menteri Pendidikan berkata bahawa pengetua sekolah yang tidak memberi kerjasama kepada pihak polis di dalam membendung masalah jenayah dalam kalangan pelajar boleh dikenakan tindakan disiplin. Perkara ini berdasarkan kepada masalah jenayah yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar seperti terlibat dengan kongsi gelap, mencuri motosikal dan memeras ugut.

Masalah jenayah sebegini bukan sahaja boleh menjatuhkan reputasi sekolah dan guru-guru yang mengajar malahan mengakibatkan keselamatan kakitangan sekolah dan pelajar lain turut terancam.

Sebagai contoh, kematian seorang pelajar akibat dibelasah sekumpulan rakan sekolahnya, gara-gara berebut teman wanita baru-baru ini amat mendukacitakan. Ia juga menarik perhatian pelbagai pihak. Namun, kenyataan Menteri Pelajaran adalah tepat apabila menyatakan ia bukannya kejadian terpencil.

Kejadian seperti ini sudah berlaku beberapa kali. Malah satu masa dulu kita dikejutkan dengan berita pelajar Ma'ahad dibelasah rakannya. Nampaknya tiada had bagi perkara seperti itu berlaku. Sekumpulan bekas pelajar yang tamat persekolahan lima tahun lalu, meminta pihak sekolah lebih bertanggungjawab dalam kes seumpama ini.

Terdapat sesetengah sekolah yang cuba menutup kejadian jenayah yang berlaku di sekolah. Pelbagai kejadian seperti mencuri, buli dan belasah, pecah masuk asrama wanita dan sebagainya tidak direkodkan. Malah, ada kala jika kes membabitkan pelajar yang mempunyai ibu bapa yang berkhidmat di sekolah itu, tiada tindakan diambil. Sesetengah pelajar mengambil peluang itu dan cuba berubah menjadi pelajar yang baik.

Namun, ada juga pelajar bermasalah disiplin yang mengambil kesempatan atas tindakan berkenaan dengan menganggap sekolahnya lemah dan seterusnya mengulangi perbuatan sama.

Pada kebiasaannya pihak sekolah mengelak untuk melaporkan perkara sedemikian, demi menjaga nama baik sekolah. Apa yang akan difikirkan jika kementerian mengetahui kejadian seperti ini? Sumbangan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga pastilah berkurangan dan lebih menakutkan lagi, aktiviti dan pentadbiran sekolah menjadi bahan bualan dan mereka akan disiasat sama ada oleh pihak ibu bapa mahupun pihak kementerian.

Bagaimanapun, bagi pelajar yang tidak menunjukkan sikap bersyukur dan tiada keinginan untuk berubah, iaitu terus menerus melakukan kesalahan sama, pihak sekolah sekiranya benar-benar mementingkan kebaikan pelajar, akan menyerahkan kesnya kepada pihak yang berkuasa, seperti kementerian atau pihak polis.

Adalah lebih mendukacitakan lagi pihak sekolah sebaliknya bersikap lepas tangan apabila bertindak untuk memindahkan pelajar bermasalah disiplin ke sekolah lain atas pilihan pelajar dan tidak memaklumkan sebabnya kepada sekolah baru.

Akibatnya, pelajar berkenaan terus melakukan jenayah dan kesalahan, malah mungkin dengan lebih berleluasa lagi. Sekolah haruslah menjadi tempat memupuk pelajar dan membentuk sahsiah mereka, bukan sekadar tempat kerja bagi guru dan pentadbir sekolah.

Hukuman bagi pelajar seharusnya dilakukan sesuai dengan keadaan, bukan semata-mata mengikut perasaan geram atau marah. Ia juga harus dilaksanakan dengan niat untuk mengubah pelajar menjadi insan lebih baik lagi. Tindakan melaporkan kepada pihak lebih berkuasa tidak harus dilihat sebagai kejam andainya ia benar-benar sesuai. Setakat mewajibkan pelajar menghadiri sesi kaunseling tidak mencukupi. Malah, tindakan ini, walaupun pasti mendapat tentangan ibu bapa, juga dapat menarik perhatian ibu bapa pelajar bermasalah ini kepada masalah yang dihadapi anak mereka.

Andainya pihak sekolah bersikap bertanggungjawab, ikhlas dan penuh integriti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, rakyat Malaysia, khususnya anak muda remaja yang terbentuk pastinya akan menjadi bangsa yang lebih baik.

Tindakan-tindakan tidak beretika yang dilakukan oleh pihak pentadbiran sekolah ternyata menjadikan persekitaran sekolah tidak harmoni dan tidak membantu dalam menjaga kebajikan kakitangannya terutamanya guru. Apabila keadaan ini semakin berlarutan, ianya akan menghakis kepercayaan guru terhadap kredibiliti dan ketelusan pengetua terbabit. Akhirnya perasaan hormat guru akan hilang dan mereka akan kehilangan motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

3.0 SOLUSI: PENGAMALAN NILAI-NILAI MURNI UNTUK MEMBUDAYAKAN KETELUSAN GURU TERHADAP ISU MENYEMBUNYIKAN MASALAH DISIPLIN PELAJAR

Penerapan nilai mendefinisikan nilai sebagai peraturan perlakuan standard yang menjadi pegangan ahli masyarakat, ditentukan oleh masyarakat mengikut budaya masyarakat tersebut. Tujuan penerapan nilai adalah untuk mempengaruhi diri individu dengan nilai tertentu yang berbentuk universal dan mutlak, yang difikirkan baik dan sesuai.

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:

"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia" (Wan Mohd. Zahid, 1988)

Secara keseluruhannya, ia merupakan nilai yang positif yang boleh diterima oleh semua. Dalam pendidikan, penerapan nilai yang pertama kali secara rasminya diberi penekanan ialah melalui Lapuran Kabinet (Lapuran Mahathir 1979), 1989. Semasa Datuk Sri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin Kementerian Pendidikan beliau membuat penyataan mengenai FPN & KBSM yang mana menyelitkan isu-isu nilai murni untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani.

Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:-
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"

Kesedaran tentang kemerosotan disiplin dan akhlak telah dirakamkan oleh JawatanKuasa Kabinet Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran 1979 dan menyarankan bahawa tenaga rakyat yang diperlukan untuk kepentingan pembangunan negara perlu memiliki sikap jujur dan dedikasi terhadap kerja selain daripada jenis pengetahuan dan kemahiran. Mereka juga perlu boleh berfikir secara logik dan bertindak dengan positif sama ada secara sendiri atau beramai-ramai dengan berlandaskan akhlak yang mulia.

Kesimpulannya, biarkan saya singkap daun, ambil isi bahawa nilai-nilai murni memainkan peranan besar dalam sepanjang kehidupan seorang guru. Oleh itu, semua mesti berjuang bersama-sama untuk mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berbudi supaya negara kita dapat melangkah menuju status negara maju menjelang 2020.

4.0 RUMUSAN

Matlamat utama pendidikan di Malaysia ialah untuk menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui perkembangan individu yang bersepadu dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bagi menyempurnakan hasrat FPK ini, para guru telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik bukan sahaja dari segi penyebaran ilmu bahkan dalam pembentukan sahsiah anak didiknya.

Generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi dapat melahirkan bangsa yang bertamadun. Pihak pentadbir dan perancang sentiasa mengharapkan agar guru mempunyai cita-cita unggul iaitu membina masyarakat yang bertamadun tinggi.

Apabila FPK dihayati, guru harus sedar bahawa mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang amat berat. Guru perlu mencurahkan ilmu sama ada pelajarnya mahu atau tidak mahu menerimanya. Di samping itu, mereka harus peka dengan perubahan semasa dan menyesuaikannya secara bijak bagi menangani masalah pengajaran dan pembelajaran terutama yang berkaitan dengan disiplin pelajar.

Pada amnya, guru perlu pakar atau profesional dalam segala bidang. Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu harus menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah, 1998). Mereka bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus dibentuk ke arah profesional.

Kementerian Pendidikan telah berusaha sejak dari dahulu lagi untuk menjadikan bidang perguruan ini sebagai satu kerjaya yang profesional. Laporan Suruhanjaya Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971), telah mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan (EPP) bagi Pembentukan Tatasusila Guru. Semua guru yang telah memperolehi sijil perguruan perlu mematuhinya.

Namun begitu sehingga ke hari ini kita masih lagi mendengar berita-berita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru sendiri yang mencalar kewibawaan profesion perguruan ini. Dalam usaha untuk memastikan martabat pendidikan terus terpelihara dan tidak terpinggir dalam perubahan arus zaman, Etika Profesion Perguruan (EPP) harus dikaji semula (Najib, 1977).

Sebagai rumusannya, pengamalan EPP di kalangan guru-guru adalah penting demi menjamin martabat profesion perguruan sentiasa dipandang mulia di mata masyarakat. Kejayaan dan pencapaian matlamat pendidikan berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik selaras dengan EPP yang telah dimaktubkan dalam bentuk ikrar tercetak di halaman hadapan buku persediaan mengajar seperti seperti berikut;
“Kami guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan....
.... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan.

5.0 REFLEKSI

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya dapat juga saya menyiapkan tugasan ini. Sepanjang saya menyiapkan tugasan ini, terdapat banyak perkara dan pengalaman yang saya peroleh.

            Pertama sekali, tajuk kerja kursus yang telah diberikan ini amat berkait rapat dengan diri saya sebagai bakal guru yang akan mendidik anak bangsa pada masa hadapan InsyaAllah. Sepanjang kerja kursus ini berlangsung, saya telah membaca beberapa buah buku untuk menghasilkan tugasan ini. Melalui bacaan-bacaan saya ini, saya dapat mendidik diri saya untuk menjadi guru yang benar-benar mampu mengisi jawatan sebagai seorang guru. Ini adalah sebagai suatu persiapan saya sebagai seorang guru pelatih.

Sebagai seorang guru yang merupakan satu profesion, kita sering lupa dengan kod dan etika sebagai seorang guru. Etika dan kod etika ini merupkan peraturan dan landasan yang perlu dituruti oleh seseorang yang bergelar profesional. Malangnya, kebanyakan guru hanya melihat profesion keguruan ini hanya kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sahaja dan tidak melihat pada aspek lain menyebabkan ketirisan dalam dunia pendidikan dewasa ini. Kita sebagai warga pendidik haruslah sedar masalah yang kita hadapi sekarang dan kembali membawa profesion ini kelandasan yang sebenar supaya tidak lari dari garis sempadan yang ditetapkan.

Etika merupakan satu sistem dasar akhlak, adat dan tingkahlaku atau kesusilaan (Dewan Bahasa & Pustaka) yang merupakan prinsip moral atau set prinsip moral (Kamus Oxford). Etika juga boleh dikatakan sebagai tanggugjawab dan akibat tingkah laku seseorang terhadap masyarakat. Menurut dari perspektif Islam, merujuk kepada tingkahlaku yang betul berasaskan Al-Quran dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

Itu dari segi etika , jika dilihat dari kod etika profesional pula membawa maksud semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan, dan peradaban termasuk peranan nilai,seta tingkah laku profesional dalam masarakat.  Etika profesional ini mencakupi sebahagian besar kehidupan mereka yang mengamalkan sesuatu profesion kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi. Dalam islam pula, Etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertaqwa dalam keseluruhan hidupnya.

            Keduanya, kesulitan yang timbul sepanjang saya menyiapkan tugasan ini adalah suatu situasi yang memberikan saya punca motivasi bagi melaksanakannya. Bahan-bahan bacaan yang dibaca perlu diteliti dan dikaji kesesuaiannya dengan teras yang ingin saya terangkan di dalam tugasan ini. Ini semua adalah suatu lumrah bagi seorang pelajar.

            Akhir sekali, saya merasakan bahawa tugasan sebegini amat wajar diteruskan dalam pelbagai bentuk seperti pembentangan, forum dan sebagainya. Ini amat penting kerana pada pandangan saya aktiviti selain daripada penulisan juga dapat membina kredibiliti seorang guru pelatih sebagai bekalan mereka pada masa hadapan.
Mohamad Syamsul Izwan Bin Md Fauzi
8PISMP KS/PJ 1


BIBLIOGRAFI
Alias Baba. 1997. Statistik Penyelidikan dalam Pendidikan dan Sains Sosial. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Asnah Abd. Hamaid. 1996. Nilai dan Etika Profesional dalam Perkhidmatan Pendidikan. Pengurusan Pendidikan
05(02): 29-39.

Imam Ghazali. 1980. Ihya Ulumiddin. Indonesia: Percetakan Menara Kudus.

Krejcie, R. V. & D. W. Morgan. 1970. Determining sample size for research activities. Educational and Psychological Measurement. 30(3): 607-610.

Mohd Majid Konting. 1990. Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Najib Tun Razak. 1971. Kod Etika Perguruan Kita Sudah Profesional. Utusan Malaysia, 07 Mei 1995.

Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. 1991. Pengesanan Budaya Sekolah. Jurnal Pendidikan 35: 34.

Rashidi Azizan & Abdullah Mohd. Noor. 1994. Pendidikan Guru: Cabaran, Falsafah dan Strategi dalam Pembentukan Guru yang Unggul. Kajang: Masa Enterprise.

Robiah Sidin. 1998. Pemikiran dalam Pendidikan. Shah Alam: Fajar Bakti.

Salant, P. & D. A. Dillman. 1994. How To Conduct Your Own Survey. New York: John Wiley & Sons, Inc.

Sufean Hussin. 1993. Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Tajul Ariffin Noordin & Nor’aini Dan. 1992. Pendidikan dan Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Arena Ulmu.
Abdul Aziz Yusof, (2004). Pengurusan Sumber Manusia. Pearson-Prentice Hall.

Abdullah Sani Yahya (2005), Mengurus Disiplin Pelajar. Pahang Darul Makmur : PTS
Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Abdul Rahman Abdul Aziz (2000), Kemahiran Sosial Asas. Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributors.

Bartlett, D. (1998). Stress Perspectives and Processe. Buckingham.Philadelphia: Open
University Press.

Pengetua Sekolah Yang Langgar Arahan Akan Dikenakan Tindakan Disiplin. (1 Jun
1997). BERNAMA

Pengetua Salahguna Kuasa Akan Dikenakan Tindakan. (4 Mac 2000). BERNAMA
Sembunyi Kes Disiplin: 6 Pengetua Diarah Beri Penjelasan (24 Mac 2007). Utusan Online.
Pengetua Diminta Ambil Pendekatan Positif Atasi Masalah Pelajar  (17 April 2009). Utusan Online.


LAMPIRAN
 
PENGETUA DIMINTA AMBIL PENDEKATAN POSITIF ATASI MASALAH PELAJAR
Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my
SHAHIRUDDIN Ab. Moin (tengah) memotong pulut kuning sambil disaksikan Abdul Aziz Mat Kiram (tiga dari kiri) dan Syed Hamid Syed Mohamed (kanan) pada majlis makan malam 100 tahun Sekolah Kebangsaan Sega, Raub, Pahang, kelmarin.


RAUB 16 April - Para pengetua sekolah di sini diingatkan supaya mengambil pendekatan positif tidak menyembunyikan masalah disiplin pelajar termasuk pergaduhan dan buli kerana tindakan sedemikian jika ditutup ia boleh memberi kesan yang lebih buruk terhadap nama baik sekolah mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, tindakan menyembunyikan kes salah laku pelajar tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan menyebabkan perkara sama terus berulang.
Katanya, isu disiplin, buli dan pergaduhan di kalangan pelajar perlu ditangani dengan tegas tetapi dengan pendekatan berhemah.
''Kes buli di sekolah akan terbongkar juga kerana pihak yang tidak berpuas hati terutama ibu bapa pelajar akan mendedahkan isu itu kepada pihak media.
''Isu itu akan menjadi lebih besar apabila didedahkan dan akan menjejaskan reputasi dan nama baik pengetua, pentadbiran dan guru-guru sekolah berkenaan," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis jamuan makan malam dan perayaan 100 tahun Sekolah Kebangsaan Sega, Raub, semalam.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram dan ADUN Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed.
Shahiruddin mengulas mengenai pergaduhan dan kejadian buli di kalangan pelajar senior dan murid tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Dong minggu lalu yang menimbulkan perasaan tidak puas hati ibu bapa kerana pentadbiran sekolah berkenaan dikatakan cuba menyembunyikan kejadian itu.
Shahiruddin berkata, masalah disiplin pelajar boleh diatasi jika ibu bapa dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sama-sama bertanggungjawab dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.
Katanya, semua pihak perlu memberikan perhatian sewajarnya terhadap masalah pendidikan bagi melahirkan pelajar berkualiti yang bakal menjadi pemimpin pelapis.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Shahiruddin menyarankan budaya usahawan diterapkan di kalangan pelajar supaya mereka berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak di bangku sekolah lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau menggesa pelajar meningkatkan tahap komunikasi dengan mempelajari pelbagai bahasa lain selain bahasa kebangsaan.
Katanya, kebolehan dan kecekapan berkomunikasi adalah aset utama sebagai kayu bagi menentukan kejayaan seseorang pelajar setelah tamat persekolahan di peringkat menengah dan universiti.
Sehubungan itu, Shahirudin turut menggesa ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka mempelajari banyak bahasa terutama bahasa Inggeris kerana ia akan memudahkan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara dan memperoleh pekerjaan.
''Dengan mempelajari banyak bahasa ia akan menjadikan seseorang itu lebih dikenali dan mudah berurusan dalam apa juga keadaan terutama pentadbiran dan perniagaan dalam syarikat multinasional.
''Kita lihat hari ini kegagalan anak-anak Melayu mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat swasta dan multinasional kerana kelemahan berkomunikasi dan menguasai bahasa Inggeris," katanya.
Utusan Malaysia Onlione: 17 April 2009

 
UTUSAN ONLINE 24/05/2007
SEMBUNYI KES DISIPLIN: 6 PENGETUA DIARAH BERI PENJELASAN
Oleh IRMAN HASHIM
KUALA TERENGGANU 23 Mei- Kementerian Pelajaran mengarahkan enam pengetua sekolah menengah memberi penjelasan ekoran tindakan secara terang-terangan menyembunyikan kes disiplin di sekolah mereka.
Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, pengetua-pengetua itu didapati tidak mengambil tindakan terhadap kes-kes disiplin yang berlaku di sekolah mereka, malah menyembunyikannya daripada pengetahuan kementerian.
Menurut beliau, tindakan pengetua-pengetua berkenaan disedari selepas kementerian mendapat aduan dan maklumat daripada beberapa saluran termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan laman web kementerian.
Kementerian akan menyiasat aduan-aduan berkenaan dan jika didapati pengetua-pengetua itu sengaja menyembunyikan kes-kes disiplin itu, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib, katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kolokium Pemimpin Kelab Pencegahan Jenayah di Dataran Shahbandar, di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar KOSMO! pada 20 Mei lalu berhubung arahan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow supaya pengetua dan guru besar segera melaporkan sebarang aktiviti berunsur gangsterisme kepada polis bagi mengelak aktiviti itu berleluasa.
Dalam pada itu, Noh berkata, kempen kesedaran yang dianjurkan oleh kementerian tahun lepas berjaya menurunkan kes-kes disiplin melibatkan pelajar-pelajar sekolah.
Beliau menambah, kes pelajar digantung sekolah menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 0.4 peratus tahun lepas berbanding tahun sebelumnya, manakala kes pelajar dibuang sekolah pula menurun daripada 0.4 peratus pada 2005 kepada 0.2 peratus tahun lalu.
Statistik yang melibatkan kira-kira lima juta pelajar dan murid sekolah itu turut menyaksikan penurunan dalam kes hukuman rotan iaitu daripada 3.8 peratus pada 2005 kepada 1.4 peratus tahun lepas dan kes buli turut menurun sebanyak 0.01 peratus kepada 0.02 peratus tahun lepas berbanding tahun sebelumnya, ujarnya.
Beliau berkata, statistik berkenaan memberikan semangat kepada kementerian untuk meneruskan usaha memberikan kesedaran kepada para pelajar dan murid sekolah daripada melibatkan diri dalam kegiatan negatif.
Justeru, kerajaan telah meluluskan kira-kira RM6 juta pada tahun ini kepada Jawatankuasa Induk Disiplin kementerian untuk melaksanakan projek-projek khas termasuk kempen kesedaran, katanya.


Rujukan:


No comments:

Post a Comment