Persatuan
Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam
mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak
program dan langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang
boleh mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.
Salah satu
peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah
antara guru dan ibu bapa. Banyak salah faham yang timbul antara
kedua-dua belah pihak apabila berlakunya kejadian salah laku di kalangan
pelajar. Kebanyakan ibu bapa lebih percaya akan kata-kata dan acuman
anak-anak berbanding fakta sebenar daripada pihak guru. Bertolak dari
situlah mereka mulai memandang serong kepada guru. Guru sering kali
disalahkan untuk segala yang berlaku di sekolah. Ini termasuklah soal
prestasi akademik dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Ekoran itu,
mereka mulai memulaukan sekolah dan mendendami guru tertentu. Namun
dengan inisiatif PIBG, semua bentuk salah faham ini boleh diuraikan.
Perbincangan yang lebih kerap, selain mesyuarat tahunan PIBG mampu
menjernihkan suasana.. Hasilnya, situasi pengajaran dan pembelajaran
dapat berjalan dengan lancar.
Selain itu,
PIBG sebagai sebuah organisasi yang berwibawa boleh menubuhkan tabung
pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah. Tabung ini boleh
diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh
ahli korporat dan individu tertentu. Dana yang terkumpul ini boleh
digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah dan para pelajar. Ini
termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa
kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat
ditambah dan ditingkatkan. Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah
amnya dapat memaksimunkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan
dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP)
yang dicita-citakan.
Di samping
itu, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para
pelajar di setiap sekolah. Program seperti ini penting demi memberi
kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya.
Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat
dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan berasa insaf
dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu,
kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan
prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan
generasi muda yang bersahsiah tinggi.
Peranan lain
yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai
terhadap perjalanan sekolah. Dengan kata lain, ahli PIBG boleh berfungsi
sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal
akademik mahupun kokurikulum. Susulan daripada itu, perbincangan boleh
diadakan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah demi mengatasi
sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Di samping itu, pihak
persatuan juga boleh berfungsi sebagai penjamin atau penyelamat kepada
guru sewaktu menjalankan tugas di sekolah. Hal ini wajar dilakukan
kerana ramai kalangan guru berasa tertekan dan terancam apabila
menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.
Kejadian
memukul, mengancam, memusnahkan kereta dan membakar rumah guru merupakan
gejala yang boleh mematahkan semangat guru. Tindakan PIBG membela nasib
guru yang menjulang amanah ini akan menjadikan mereka lebih bersemangat
dan selesa ketika bertugas. Ini secara tidak langsung dapat membantu
sekolah meningkatkan pencapaian dalam semua bidang.
Akhir
sekali, PIBG boleh juga mengadakan beberapa sesi gotong-royong di
sekolah, misalnya gotong-royong menyiapkan bangunan tambahan, membina
Taman Sains sekolah dan sebagainya. Gotong-royong yang diadakan ini
bukan sahaja akan dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pelajar,
malahan juga dengan guru di sekolah. Hubungan yang mesra ini mampu
melenyapkan prasangka antara ibu bapa dengan guru. Hasilnya, akan wujud
kerjasama lain antara mereka. Dengan itu, segala bentuk program yang
dirancang oleh sekolah akan berjalan dengan lancar. Ini sudah pasti
membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelaj ar yang berkualiti pada
masa hadapan.
Sesungguhnya
PIBG dan sekolah ibarat ‘aur dengan tebing’ yang perlu saling membantu.
Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di
sekolah dapat ditingkatkan.
No comments:
Post a Comment