VigLink

Wikipedia

Search results

Monday 23 December 2013

PIBG

Semua orang sedia maklum tentang kewujudan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah. Di sini, saya ingin menyorot semula apa itu PIBG, tujuan dan fungsi PIBG sebagaimana yang digariskan di dalam perlembagaan.
    PIBG adalah salah satu organisasi penting sekolah yang boleh memainkan peranan besar dalam meningkatkan pencapaian persekolahan murid-murid. Pertubuhan PIBG di peringkat sekolah rendah dan menengah adalah hasil pelaksanaan syor-syor berlandaskan Laporan Aziz yang diumumkan pada tahun 1971.
    Fungsi PIBG utama yang ditubuhkan di sekolah-sekolah ialah menjaga dan melindungi kebajikan pelajar-pelajar dan guru-guru, di samping memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah. Fungsi PIBG ini dapat diperlihatkan daripada kegiatan-kegiatan sosial, akademik dan kebajikan yang diusahakan mengikut garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia.
    Ahli-ahli PIBG yang aktif boleh menyumbangkan tenaga dan sumber kewangan mereka dari semasa ke semasa demi kemajuan sekolah.
    Menurut  Akta Pendidikan 1996 Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa = Guru) 1998 [Sub peraturan 7(2) ] Perlembagaan Persatuan Ibu Bapa - Guru (PIBG), tujuan PIBG ialah:- 
 
(a) Untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam meningkatkan imej sekolah; 
(b) Untuk membantu dan menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;
(c) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
(d) Untuk memberi peluang kepada ibubapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan
(e) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah berusaha menambah kewangan sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
    

Manakala fungsi PIBG pula ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan yang dinyatakan di atas, seperti :-
(a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;
(b) menambah sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah;
(c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat setempat;
(d) meningkatkan keceriaan premis sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan.

    
Jelas sekali, peranan PIBG hanyalah sebagai organ menambahbaik dan membantu pihak sekolah dalam bidang tertentu sahaja. PIBG tidak boleh mentadbir dan mencampuri hal pentadbiran sekolah sementara pihak sekolah pula haruslah memberi sepenuh kerjasama kepada PIBG kerana kebanyakan program PIBG memerlukan penglibatan guru-guru. Beruntunglah sekolah yang mendapat barisan AJK PIBG yang komited dan memahami. Sudah tentulah pentadbir dapat menjalankan tugas dengan lancar dan guru-guru dapat mendidik dengan berkesan.
    Mesyuarat PIBG janganlah dijadikan sebagai medan untuk menyenaraikan ketidakpuashatian kerana tujuan utama mesyuarat adalah untuk membincangkan usaha memartabatkan pendidikan. Masa tersebut begitu berharga untuk dihabiskan dengan membesarkan hal-hal yang remeh-temeh. Masing-masing boleh menegur tetapi lunakkan ia dalam bentuk cadangan. Jika ada kes-kes tertentu, datanglah ke pejabat sekolah untuk disiasat dan diselesaikan secara halus dan berhemah. 
  

No comments:

Post a Comment