PIBG adalah satu penubuhan yang
diceburi secara sukarela. AJK yang dipilih perlu menitikberatkan
ciri-ciri keikhlasan, pengorbanan masa, wang ringgit dan tenaga. Fungsi
PIBG ialah membantu sekolah dalam pelbagai aktiviti demi kebaikan
anak-anak yang belajar di sekolah tersebut. Selain dari itu juga PIBG
juga berperanan mencari sumbangan dari ahli dan orang ramai samada
berbentuk wang, material mahupun tenaga bagi faedah para pelajar.PIBG
yang ditubuhkan adalah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara
ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan. Permuafakatan seumpama ini
diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab
bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan
pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan
perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat.
Antara peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG terhadap pencapaian
akademik di sekolah ialah membantu dan menambah sumber kewangan sekolah
bagi menambah baik dan meningkatkan kemudahan di sekolah iaitu dengan
menubuhkan tabung pendidikan yang bertujuan untuk kebajikan dan manfaat
kepada sekolah dan para pelajar. PIBG juga berperanan membantu dan
menambah usaha sekolah untuk memenuhi kehendak-kehendak dan
keperluan-keperluan kebendaan para pelajar dalam kegiatan-kegiatan
mereka seperti aktiviti kelas tambahan dengan memberi sumbangan kewangan
untuk membeli buku latihan atau buku kerja bagi meringankan beban
pelajar yang kurang berkemampuan.
Selain itu PIBG juga berperanan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang
dapat menambahkan minat para pelajar untuk belajar dan mendapat
keputusan yang cemerlang dengan mengadakan program motivasi,seminar dan
bengkel.Dengan adanya program-program sebegini secara tidak langsung
akan memberi kesedaran dan semangat kepada para pelajar untuk belajar
dan berjaya. PIBG juga berperanan membantu pihak sekolah menangani
pelajar bermasalah dengan bekerjasama mengadakan program pemulihan
akhlak,kem bina semangat dan sesi kaunseling yang bertujuan memberi
kesedaran, keinsafan dan semangat untuk belajar dan berjaya dalam
pelajaran.Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah disiplin di
sekolah malah dapat meningkatkan prestasi akademik para pelajar.
Di samping itu, PIBG juga berperanan
sebagai entiti utama yang membolehkan kelompok ibu bapa dan guru
berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai pendidikan
semasa dan method untuk meningkatkan lagi prestasi akademik dan
kokurikulum pelajar iaitu dengan membuat pemantauan dari semasa ke
semasa di sekolah. Ia turut memberi peluang kepada ibu bapa dan guru
untuk sama-sama memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka Dengan itu
sebarang masalah dan kerumitan yang dihadapi dapat diatasi hasil dari
perbincangan dan kerjasama antara PIBG dengan pihak sekolah.
Kesimpulannya,memang tidak dapat
dinafikan peranan dan tanggungjawab PIBG di sesebuah sekolah memberi
kesan kepada kemajuan dan percapaian sekolah kerana persatuan berkenaan
menjadi medium untuk mencetuskan hala tuju dan matlamat sekolah ke arah
kecemerlangan pendidikan. PIBG juga turut membantu pihak sekolah dalam
pembangunan modal insan dengan memberi tumpuan kepada sistem nilai,
aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar bagi melahirkan
generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang dari segi
jasmani, rohani, emosi dan intelektual.
Untuk melihat peranan-peranan lain PIBG, sila klik di sini.
Untuk melihat peranan-peranan lain PIBG, sila klik di sini.
No comments:
Post a Comment